Khamis, Julai 30, 2009

METRO 30.7.09 - SK SERENDAH PULA DITUTUP

SK Serendah pula ditutup

HULU SELANGOR: Sekolah Kebangsaan Serendah di sini menjadi sekolah pertama di daerah ini ditutup seminggu selepas terbabit dengan penularan wabak Influenza A (H1N1).

Notis Perintah Tutup yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Hulu Selangor itu mengarahkan sekolah terbabit ditutup bermula jam 9 pagi semalam sehingga 4 Ogos.

Arahan itu dikeluarkan atas alasan keadaan mungkin menyebabkan bermula atau merebaknya wabak kepada orang ramai.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Ariffin Abd Manaf, berkata penularan wabak itu dikesan berlaku sejak Isnin lalu apabila terdapat seorang murid pengsan ketika majlis perhimpunan mingguan.

Katanya, sejurus selepas itu seramai 114 murid mengadu menghidap demam dan selesema dikuarantin dalam sebuah bilik khas.