Di petik dari Blog Pandangan Muhamad Razak Idris
Tersiar di Berita Harian: 7 Oktober 2009
Umat Islam masih bergembira menyambut Aidilfitri setelah menunaikan ibadah puasa. Persoalan yang perlu dibicarakan sekarang ialah apakah agenda seorang Muslim selepas Ramadan? Hal ini penting ditelusuri kerana beberapa faktor. Pertama, ibadah berpuasa tidak harus dipandang secara terpisah daripada ibadah lain. Ini kerana ia mempunyai kesinambungan daripada misi keseluruhan ibadah di dalam Islam. Kedua, perbincangan mengenainya akan memberi peringatan berterusan kepada umat Islam iaitu kejayaan melaksanakan ibadah berpuasa tidak bererti mereka sudah memenuhi keseluruhan maksud ibadah yang sebenar.
Ibadah berpuasa mempunyai kesan atau implikasi sosial yang penting di dalam rangka menjayakan cita-cita besar agama Islam di muka bumi ini. Apakah cita-cita besar agama Islam dan kaitannya dengan ibadah berpuasa? Sekiranya ditelusuri, cita-cita besar agama Islam ialah mengembalikan masyarakat kepada aturan hidup yang berasaskan kejadian fitrahnya. Bagi tujuan itu, ibadah berpuasa adalah salah satu proses yang perlu dilalui bagi mencapai cita-cita besar ini.
Sebagaimana yang dibahaskan oleh banyak tulisan, pelaksanaan ibadah puasa secara sempurna oleh seseorang Muslim akan memberi kesan besar di dalam mengembalikan diri kepada fitrah kejadiannya. Ibadah puasa ialah satu bentuk latihan kerohanian bagi membangunkan jiwa yang kental.
Sepanjang sebulan yang lalu, kita dilatih menahan diri daripada terjebak di dalam perbuatan yang bertentangan dengan aturan fitrah kehidupan. Di dalam perspektif agama, aturan fitrah ini dikenali sebagai syara’. Apabila seseorang itu dapat mengatur perjalanan hidupnya berasaskan syara’, ia bererti seseorang itu telah mengembalikan dirinya kepada kehidupannya yang fitrah. Keupayaan kembali kepada fitrah adalah suatu kemenangan besar dari sudut kerohanian. Menerusi pandangan ini, sambutan Aidilfitri adalah sebahagian daripada manifestasi perayaan kemenangan diri insan kembali kepada fitrah kejadiannya.
Namun, apakah pula tugas dan peranan seseorang individu Muslim selepas berjaya mengembalikan dirinya kepada aturan fitrah kejadiannya? Sudah tentu mereka harus berusaha sedaya upaya pula untuk mengembalikan masyarakat dan kehidupan persekitarannya kepada aturan fitrah juga. Ia bererti seseorang Muslim itu hendaklah membabitkan diri di dalam memperbaiki dan memperbaharui masyarakat agar berada di dalam suatu aturan hidup yang disandarkan kepada hukum sosial dan alam yang bersifat sejagat.
Agenda mengembalikan masyarakat kepada aturan fitrah yang dimaksudkan adalah cita-cita dan misi utama penurunan agama Islam di muka bumi ini. Cita-cita bagi merealisasikan agenda ini diamanahkan kepada para nabi terdahulu. Kini, amanah ini menjadi tugas dan tanggungjawab kita semua sebagai warga umat Islam. Di dalam sejarah awal perkembangan Islam di Makkah, agenda mengembalikan masyarakat kepada aturan fitrah terjelma di dalam usaha dakwah Nabi Muhammad SAW memperbaiki dan memperbaharui masyarakat Arab pada waktu itu yang terjebak dengan penyelewengan daripada aturan fitrah kehidupannya.
Fenomena penyelewengan daripada aturan fitrah ini dapat dilihat dalam aspek pencemaran dari sudut kepercayaan dan perleluasaan budaya hidup yang meruntuhkan. Amalan menjadikan berhala sebagai jelmaan tuhan yang disembah dan pemecahan masyarakat berasaskan warna kulit dan darjat kaum atau kabilah adalah antara contoh penyelewengan aturan fitrah yang dialami masyarakat Arab. Proses mengembalikan semula masyarakat daripada fenomena penyelewengan ini kepada aturan fitrah dianjurkan Islam menerusi pengenalan semula prinsip kepercayaan yang lurus menerusi konsep Tuhan yang Esa atau ‘Tauhid’ dan mempertegaskan konsep perhubungan sosial bersandarkan prinsip kesaksamaan sesama manusia atau juga dikenali sebagai ‘Ummah’.
Dua konsep ini menjadi sebahagian tema utama dakwah dan misi kerasulan Nabi Muhammad kepada masyarakat Arab secara khusus dan umat manusia seluruhnya. Pada masa kini, tugas mengembalikan masyarakat kepada aturan fitrah bertambah kompleks dan mencabar. Penyelewengan manusia daripada aturan fitrahnya meliputi segenap aspek seperti pemikiran, kebudayaan dan perhubungan sosial.
Masyarakat dunia kini terdedah dengan pelbagai aliran berfikir dan ideologi. Sebahagiannya seperti ajaran sesat dan pemikiran dan cara hidup bebas boleh memberi mudarat kepada aturan fitrah kepercayaan serta kefahaman manusia mengenai Tuhan dan kehidupan. Penyelewengan aturan fitrah juga tergambar di dalam permasalahan perbezaan taraf hidup yang melampau antara golongan kaya dan miskin. Kedapatan sesetengah masyarakat yang masih kekurangan sumber makanan dan peluang pendidikan manakala sesetengah yang lain bermewah dan berlebihan.
Keadaan yang sama juga dapat dilihat di dalam hubungan perseteruan antara kaum dan negara yang masih lagi berleluasa. Dunia hari ini masih lagi belum kesepian daripada masalah peperangan dan penjajahan. Dari segi kelestarian kehidupan, dunia kini sedang berdepan ancaman perubahan cuaca. Iklim dunia sudah tidak menentu lagi. Kerakusan manusia terhadap sumber alam menyebabkan peningkatan bencana alam seperti banjir, ribut dan gempa bumi yang melampau.
Kesemua ini adalah antara contoh permasalahan dan cabaran kehidupan moden yang menuntut pembabitan langsung umat Islam bagi proses pembaikan dan pembaharuan. Ia sebahagian fenomena ketergelinciran kehidupan manusia daripada aturan fitrah kejadiannya. Oleh kerana itu, tugas mengembalikan semula masyarakat kepada aturan fitrah adalah agenda terbesar ibadah bagi setiap Muslim.
Semoga kita semua sudah bersedia terutama dari sudut ketahanan diri dan kekentalan jiwa setelah berjaya melepasi latihan rohani menerusi ibadah berpuasa sebulan yang lalu. Marilah kita menyumbang usaha dan tenaga di dalam batas keupayaan yang kita miliki bagi menjayakan agenda dan misi besar agama Islam ini kepada seluruh masyarakat manusia di muka bumi ini.
"Sebaik-baik sedekah adalah mempelajari seseorang Islam akan ilmu, kemudian mengajar ilmunya itu kepada Saudara Islam yang lain" (Riwayat Ibnu Majjah)
Ahad, Oktober 25, 2009
Rabu, Oktober 21, 2009
Khamis, Oktober 08, 2009
Langgan:
Catatan (Atom)